Isnin, 24 Oktober 2011

Pembahagian Air (Taharah)



Antara perkara penting dalam kehidupan seorang Muslim ialah Taharah (الطهارة). Dan perkara ini berkait rapat dengan ibadah kita seharian. Adapun taharah ini, ia tidak mampu dipisahkan daripada air. Beberapa perkara yang ingin saya kongsikan tentang air kali ini. Biarpun sekadar entry ringkas, semoga bermanfaat.


Ada berapa jenis air?1
Di sisi pendapat Mazhab Syafie, air terbahagi kepada 4. 

1) Suci dan menyucikan

2) Suci dan menyucikan tetapi makruh

3) Suci tetapi tidak menyucikan

4) Bernajis
1- dalam kitab Fiqh Islami wa Adillatuhu, karangan Syeikh Dr. Wahbah Al-Zuhayli, beliau menyatakan bahawa air ini terbahagi kepada tiga.  Kerana beliau meletakkan jenis air kedua (yang di atas) bersama dengan jenis yang pertama. Jenis air kedua ialah pecahan daripada yang pertama.


Suci dan menyucikan (Mutlak)
Ia ialah air yang kekal sifatnya seperti mana ia diciptakan oleh Allah. Dan tidak berubah dari jenis ini air yang disimpan lama, dengan sebab tanah, dengan sebab kulat atau berubahnya ia dengan sebab tempat kekalnya atau tempat ia mengalir seperti adanya pada tempat-tempat itu belerang. Air itu kekal sebagai air mutlak.


Suci dan menyucikan tetapi makruh.
Ia ialah air musyammas (yang telah dipanaskan dengan matahari) , dan disyaratkan kepadanya untuk menjadi makruh tiga perkara, iaitu:

1) Mestilah di negara atau tempat yang bercuaca panas.

2) Air  yang ditakung di dalam bekas yang ditempa selain emas dan perak. Seperti besi dan kuprum.

3) Penggunaan air itu kepada manusia walaupun yang telah meninggal atau haiwan (seperti kuda) akan diikuti dengan penyakit kulit seperti kusta.

Imam Syafie meriwayatkan dari Umar r.a. : Sesungguhnya makruh bersuci (membasuh) dengan air itu. Dan Imam Syafie berkata: Tidaklah aku memakruhkan air musyammas melainkan dengan sebab perubatan.  Sesungguhnya ia mewariskan penyakit sopak.


Suci tetapi tidak menyucikan
Terbahagi kepada 2 bahagian;

1) Ialah air yang sedikit yang telah digunakan untuk bersuci seperti mandi wajib atau berwudhuk.

2) Air mutlak yang telah bercampur sesuatu yang suci yang mana pada adatnya tidak perlu ditambah kepada air mutlak. Dan tidak mungkin utk dipisahkan selepas bercampur.  Seperti air teh.  Maka ia berubah yang mana tidak boleh  dinamakan air itu dengan air mutlak.


Air Yang Menjadi Najis (Tidak Suci)
Ialah air yang jatuh padanya najis. Dan ia terbahagi kepada 2;

Pertama ialah air yang sedikit : Iaitu air yang kurang daripada 2 kolah. Air ini akan menjadi bernajis dengan sebab jatuh najis (semata-mata) walaupun najis itu sedikit dan tidak mengubah apa-apa dari sifatnya, seperti warna, bau dan rasa.

Kedua ialah air yang banyak : Iaitu air sebanyak dua kolah atau lebih., dan air ini tidak bernajis dengan sebab jatuhnya najis (semata-mata) ke dalamnya.  Namun ia menjadi bernajis jika najis yang jatuh itu mengubah salah satu daripada tiga sifatnya : Warna atau rasa atau bau. Dan ini adalah pendapat ijma’ ulama’.
(Dua kolah menyamai satu bentuk kiub yang berukuran “sehasta dan 1/4” pada panjang, lebar dan dalam. Menyamai  192.857 kg = 192.857 liter isi padu air.)



Kesimpulan
Dan daripada keempat-empat jenis air ini, bukan semua boleh digunakan untuk bersuci (Iaitu untuk mengangkat hadas atau menghilangkan najis).

Hanya air dari jenis pertama dan kedua yang boleh digunakan untuk bersuci.

Manakala jenis air yang ketiga : Tidak boleh boleh bersuci dengannya. Tetapi air itu bersih dari segi zatnya dan boleh digunakan untuk selain bersuci, seperti minum, memasak dan seumpamanya.

Adapun jenis air yang keempat : Maka air itu bernajis dan tidak layak digunakan untuk sesuatu samada bersuci atau selainnya.

Rujukan:
Fiqh Al-Manhaji 3la Mazhab Al-Imam As-Syafie, Cetakan Dar Al-Mustafa, Damsyik. m/s 21-23

WaAllahua3lam.

kalam Setapak Melangkah™


image : Google Image

Tiada ulasan:

Catat Ulasan