Ahad, 11 Disember 2011

Air Musta'mal ( الماء المستعمل )


Alhamdulillah, Selawat dan salam ke atas junjungan kita, Saidina Muhammad S.A.W..

Sebelum ini telah dibincang mengenai pembahagian ataupun jenis-jenis air (Pautan). InsyaAllah pada artikel kali ini, saya akan lebih cuba menumpukan kepada apakah ia air musta'mal.


Apakah itu air musta'mal?
Di sisi Ulama' Syafie, air musta'mal ialah Air Yang Sedikit yang Telah Digunakan dalam Basuhan Fardu daripada Hadas seperti basuhan pertama (ketika mengangkat hadas seperti wuduk). Dan yang dimaksudkan dgn Basuhan Fardu itu termasuk air basuhan wuduk seorang budak yang belum baligh.

*(والأصح أن نفل الطهارة كالغسلة الثانية والثالثة طهور في المذهب الجديد)


Air Yang Sedikit (الماء القليل)
-Ialah air yang kurang daripada dua kolah. Dua kolah menurut kiraan liter (Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Syeikh Wahbah Al-Zuhaili) ialah sebanyak 270 liter. Manakala dalam kiraan mudah ialah, satu bekas berbentuk segi empat tepat yang berukuran 1.25 hasta (1 tambah 1/4 hasta) pada panjang, lebar dan dalam dengan ukuran hasta yang sederhana panjangnya. Bagi bekas yang bulat seperti telaga, 2 hasta dalam dan 1 hasta lebar.

*(Ukuran bekas bulatan bagi Ulama' Hanbali : 2 1/2 hasta dalam dan sehasta lebar)


Basuhan Fardu
Basuhan fardu ialah basuhan menggunakan air bertujuan untuk mengangkat hadas, sama ada kecil atau besar. Contoh dalam basuhan untuk berwuduk. Untuk berwuduk, setiap anggota wuduk mestilah dibasuh (wajib) sekurang-kurangnya sekali. Dan basuhan kali pertama inilah disebut sebagai basuhan fardu. Manakala basuhan kali kedua dan ketiga adalah sunat, kerana tidak wajib dilakukan dalam perbuatan mengangkat hadas kecil seperti berwuduk.


Permuafakatan Ulama' Bagi Air Yang Tidak Termasuk Air Musta'mal
1) Baki dari air wuduk. Iaitu lebihan dari air yang digunakan untuk berwuduk. Contohnya : Ali mengambil wuduk dari sebuah kolah menggunakan pencedok. Setelah selesai, baki air di dalam kolah itu tidaklah dikira sebagai air musta'mal.

2) Air yang mengalir yang tidak teputus pangkal dan hujungnya. Contoh : Air sungai dll.

3) Air yang digunakan untuk mandi harus. Iaitu mandi yang bukan bertujuan mengangkat hadas seperti mandi wajib atau mandi sunat contohnya mandi sunat hari Jumaat, Aidil Adha dll.

4) Air yang banyak. Contohnya : Air laut, air tasik dll.


Hukum Air Musta'mal
- Pendapat yang masyhur disisi ulama bermazhab Imam Syafie dan Imam Ahmad Ibn Hanbali adalah: Air musta'mal ialah Air Yang Suci Tetapi Tidak Menyucikan.


Bagaimana Air Menjadi Musta'mal? -Sebab Air Menjadi Musta'mal-
1) Air basuhan fardu.

2) Celupan ke dalam bekas air dengan niat bersuci.

3) Berpisahnya air dari anggota berwuduk.


Contoh Permasalahan.
Situasi 1 : Ali hanya mempunyai air sebesar pencedok ( gayung ) untuk berwuduk. ( Masalah ini sering dihadapi oleh pelajar atau pelancong yang berada di luar negara )

Penyelesaian:
1) Tuangkan sedikit air ke telapak tangan dengan niat untuk membasuh tangan Hujung jari ke pergelangan tangan ). Bertujuan menghilangkan kekotoran atau najis pada tangan.

2) Celupkan tangan ke dalam pencedok dengan berniat menjadikan tangan itu sebagai pencedok untuk memindahkan air dari dalam pencedok air ke anggota wuduk.

3) Teruskan langkah kedua sehingga selesai fardu dan rukun wuduk.

Pencerahan :
1) Apabila tangan telah bersih dan diniatkan untuk mengantikan pemindah air (pencedok). Maka air di dalam bekas itu tidak menjadi musta'mal sekalipun kurang dari dua kolah. ( Lihat sebab air menjadi musta'mal )

2) Air pada 'pengganti pencedok'iaitu tangan ) telah menjadi musta'mal dengan sebab telah berpisah ia dari anggota wuduk. Lalu dimasukkan 'pengganti pencedok' itu bersama air musta'mal ke dalam bekas air yang mempunyai air kurang dari dua kolah. Dalam keadaan ini, dimaafkan.
Kerana air mutlak tidak menjadi musta'mal  dengan sebab bercampur dengan air musta'mal. (Lihat sebab air menjadi musta'mal ) Melainkan bercampur dalam jumlah atau kadar yang dihisab banyak.

3) Jika dikumpulkan air musta'mal sehingga mencapai dua kolah, maka pada sisi pandangan yang lebih sahih ia menjadi suci.

Rujukan,
Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Syeikh Wahbah Zuhaili, Bab Pertama : Taharah, Topik Keempat : Jenis-jenis air, Jenis kedua : Air Yang Suci Tetapi tidak Menyucikan, Keduanya : Air Musta'mal yang Sedikit. Maktaba As-Syamela 3.47.

waAllahua3lam.

kalam Setapak Melangkah™

image : Google Image

2 ulasan: