Ahad, 25 September 2011

Mengenai Intel Core i3, i5 dan i7

Kebelakangan ini, kebanyakan komputer dan laptop di pasaran telah dilengkapi dengan salah satu cip pemprosesan (processor) yang disebutkan di atas. Ia diakui antara cip pemprosesan yang laju ketika ini bagi pengguna komputer meja (desktop) dan komputer riba (laptop).




Bilangan teras (core) atau CPU (Central Processing Unit) bagi setiap jenis Pemproses.

Mungkin ada sebahagian dari kita menganggap nombor pada setiap jenis pemproses melambangkan bilangan cpu yang ada pemproses tersebut. Tanggapan ini adalah salah sama sekali. Bilangan 3, 5 dan 7 merujuk kepada kuasa memproses data bagi setiap jenis pemproses. Ia diukur melalui Intel Processor Star Ratings, yang meliputi bilangan teras, kelajuan memproses data (clockspeed), saiz memori cache dan beberapa kriteria lain seperti Intel Turbo Boost dan Hyper Threading.

Intel Core i3 mempunyai 2 teras sahaja, manakala Intel Core i5 mempunyai 4 teras (kecuali model i5-661 yang mempunyai 2 teras sahaja). Ambil perhatian, Intel Core i5-661 mempunyai 2 teras dan beroperasi dengan kelajuan 3.3GHz. Sama dengan Intel Core i3-560 yang turut mempunyai 2 teras dan beroperasi dengan kelajuan 3.3GHz. Jadi, apa yang membezakan dua model ini? Inilah kelebihan daripada teknologi Intel Turbo Boost.


Intel Turbo Boost

Teknologi ini dibangunkan oleh Intel membolehkan pemproses meningkatkan clockspeed secara dinamik dengan mengambil kira bilangan teras yang aktif, penggunaan tenaga elektrik, penggunaan arus elektrik dan suhu pemproses.  Setiap pemproses di bawah siri i5 dilengkapi dengan teknologi ini, berbeza dengan siri i3 yang tidak dilengkapi dengan teknologi ini. Ini menyebabkan pemproses i5-661 yang mempunyai kelajuan 3.3GHz mampu beroperasi dengan kelajuan 3.6GHz (maksimum) dan secara langsung mengalahkan semua pemproses dari siri i3.

Nota : Intel Turbo Boost




Saiz Memori Cache

Memori cache beroperasi sama seperti RAM iaitu menyimpan data yang kerap digunakan seketika bagi membolehkan data dicapai dengan lebih pantas. Tetapi ia lebih pantas kerana dibina bersama pemproses itu sendiri. Tanpa memori cache dan RAM tempoh capaian dan pemprosesan data akan menjadi lebih panjang kerana CPU perlu terus menerus membaca secara langsung dari cakera keras (hard disk).
Semua pemproses dari siri i3 mempunyai 3MB memori cache, manakala semua pemproses dari siri i5 mempunyai 6MB memori cache (kecuali i5-661 yang mempunyai 4MB memori cache). Akhir sekali, semua pemproses dari siri i7 mempunyai 8MB memori cache.

Nota: Semakin banyak memori cache, semakin banyak data mampu dicapai dengan pantas.


Hyper-Threading

Biasanya, hanya satu thread mampu dijalankan oleh satu teras. Teknologi Hyper-Threading yang dibangunkan Intel membolehkan satiap teras menampung lebih dari satu thread. Sebagai contoh, satu teras bagi pemproses siri i3 mampu menampung sehingga 2 thread. Jadi dengan dua teras, ia mampu menampung sehingga 4 thread. Namun teknologi ini tidak disertakan bersama dengan pemproses dari siri i5 (kecuali i5-661 yang turut menyokong Hyper-Threading dan beberapa model lain).

Ini antara sebab kenapa pemproses siri Intel Core i7 mendahului siri-siri lain. Mempunyai 4 teras dan dilengkapi teknologi Hyper-Threading yang membolehkan ia menjalankan 8 thread. Berserta 8MB memori cache dan disertai dengan teknologi Turbo-Boost yang membolehkan ia meningkatkan kelajuan memproses data (clockspeed) dalam keadaan yang memerlukan. Sekali gus mengatasi keupayaan pemproses-pemproses lain.

Nota: Hyper-Threading



waAllahua3lam.

kalam Setapak Melangkah™

1 ulasan: