Khamis, 15 September 2011

Istikharah - Bahagian 2


sambungan dari Istikharah - Bahagian 1 (klik di sini untuk membaca Istikharah - Bahagian 1)

Baiklah, harap para pembaca dapat memahami secara ringkas, apa itu istikharah. Istikharah sebenarnya tidak tertakluk kepada solat semata-mata (solat istikharah). Bagi memudahkan pemahaman mengenai istikharah, di sini saya naqalkan beberapa kaifiat istikharah.

Google Image
Pelaksanaan Istikharah

1)      Yang disepakati oleh ulama’ 4 mazhab : Istikharah boleh dilakukan dalam bentuk solat dua rakaat bukan fardu dengan niat istikharah. Kemudian diikuti doa yg diajarkan Nabi s.a.w selepasnya. Sabit dengan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a.

2)      Diharuskan berdoa sahaja tanpa solat jika keadaan tidak mengizinkan (dalam keadaan yang tidak berkemampuan) melakukan istikharah dengan solat dan doa bersama. Ini adalah pandangan mazhab Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Syafie.

3)      Harus dengan doa selepas mana-mana jenis solat dengan niat istikharah atau tanpa niat. Lebih utama dengan niat.


Bilangan Rakaat

1)      Bersepakat fuqaha’ (ulama fiqah) empat mazhab yang afdal dalam melakukan solat istikharah ialah 2 rakaat. Mazhab Hanafi, Malik dan Hanbali tidak menjelaskan hukum bagi solat yang bilangannya lebih dari 2 rakaat. Adapun mazhab Syafie mengharuskan solat istikharah lebih dari 2 rakaat. Dan bilangan 2 rakaat itu dikira sebagai bilangan paling sedikit dalam melakukan solat sunat istikharah.


Waktu Beristikharah

1)      Istikharah dengan berdoa sahaja : Boleh dilakukan pada bila-bila waktu kerana tiada tegahan untuk berdoa pada mana-mana waktu.

2)      Istikharah dengan solat dan berdoa sekaligus : Mazhab 4 melarang melakukan solat sunat ini pada waktu yang dimakruhkan utk bersolat. Nas yang jelas dibawakan oleh Imam Maliki dan Imam Syafie. Tetapi Imam Syafie mengharuskan solat sunat istikharah hanya di Tanah Haram Mekah ketika waktu makruh bersolat.


Dalam Perkara Apa Beristikharah?

1)      Ulama’ 4 mazhab bersepakat bahawa istikharah berada pada perkara yang tidak dapat dipastikan kebaikan padanya, Adapun apa yang jelas kebaikannya atau keburukannya, seperti ibadat, perbuatan-perbuatan yang diketahui secara adat baik buruknya, perkara maksiat dan perkara-perkara yang mungkar, maka ia tidak memerlukan kepada istikharah. Kecuali jika seseorang itu mahu menerangkan waktu-waktu yang elok untuk sesuatu perkara: seperti haji pada sekian-sekian tahun bagi mengelakkan musuh atau fitnah.

2)      Solat istikharah dalam setiap perkara yang harus. Dan terjadi kepada perkara yang sunat jika perlu memilih antara dua perkara sunat, untuk mendahulukan yang mana satu terlebih dahulu.

3)      Tidak ada istikharah dalam perkara yang wajib, haram dan makruh. Hanya pada perkara yang harus dan sunat sahaja.


Adakah perlu kepada istikharah dalam perkara yang diketahui akibatnya?

1)      Ya! Istikharah perlu dalam perkara bersifat duniawi yang diketahui akibatnya. Kerana yang benar-benar mengetahui akibat yang sebenar-benarnya ialah Allah s.w.t. Bukan semua perkara yang pada zahirnya baik ialah baik. Dan bukan semua perkara yang buruk pada zahirnya ialah buruk.


Bacaan di dalam solat istikharah

Terdapat beberapa pandangan ulama’ mengenai bacaan dalam solat istikharah. Tetapi saya naqalkan daripada Imam empat mazhab sahaja.

1)      Imam Hanafi, Imam Malik dan Imam Syafie : Digalakkan membaca surah Al-Kafirun pada rakaat pertama selepas Al-Fatihah, dan surah Al-Ikhlas pada rakaat kedua.

2)      Imam Hanbali dan sebahagian fuqaha’ : Mereka tidak menyatakan secara jelas bacaan dalam solat istikharah
.

Tempat Berdoa

Harus berdoa sama ada sebelum atau selepas salam (ketika tahiyat akhir). Telah ditanyakan kepada Imam Ibnu Taimiyah mengenai doa istikharah : “Adakah berdoa dengannya dalam solat atau selepas salam?” Maka beliau menjawab “Harus berdoa ketika solat istikharah atau solat selainnya sebelum salam atau selepasnya. Dan berdoa sebelum salam lebih baik (afdal), kerana sesungguhnya Nabi s.a.w kebanyakan doa baginda adalah sebelum salam”. waAllahua3lam.


Tanda Penerimaan Istikharah

Fuqaha’ mazhab empat bersepakat bahawasanya alamat atau tanda penerimaan istikharah ialah ( انشراح الصدر) Ketenteraman hati.Yang dimaksudkan dengan (الصدر) hati di sini ialah, perumpamaan akan kecenderungan seseorang dan kesukaan pada sesuatu tanpa ada padanya kehendak hawa nafsu ataupun kecenderungan yang disertai dengan tujuan tertentu.

Berkata seorang ulama’ Syafie : Tidak disyaratkan tenteram hati. Jika seseorang itu telah beristikharah pada Allah akan sesuatu, kemudian dia melakukan mengikut apa kehendak hatinya sama ada tenteram atau tidak, maka sesungguhnya dalam perbuatannya itu kebaikan. 

Tetapi tidaklah dihalang untuk mengatakan bahawa tenteramnya hati dan dipermudahkan urusan itu menjadi alamat atau tanda penerimaan istikharah dalam sesuatu perkara.

Mengulangi Istikharah dalam Perkara yang Sama

Ulama’ berselisih pendapat dalam masalah ini, insya-Allah penerangan yang muktamad dalam masalah ini ialah: Harus mengulanginya dalam perkara yang sama.


Bila tidak bermanfaat Istikharah?

Istikharah ialah doa. Antara perkara-perkara yang menjadi penghalang dimakbulkan (diterima) doa itu ialah:

1)      Ketika mana dia mengumpulkan harta yang tiada hak atasnya dengan paksaan, berurusan dengan riba, memakan harta-harta orang dengan cara yang batil dan zalim,  menipu dalam perniagaan atau seumpamanya.

2)      Dia beristikharah dalam perkara yang menjurus kepada dosa atau kezaliman. Seperti beristikharah dalam perkara yang mengandungi kesempitan hidup seorang Muslim atau dalam perkara yang menjadi sebab seorang mukmin itu dizalimi.

3)      Meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar.

waAllahua3lam.

kalam Setapak Melangkah™

Tiada ulasan:

Catat Ulasan