Khamis, 30 Jun 2011

Hikmah Disebalik Sakit Mulut


"Aduhh... sakitnya mulut aku", "Alaa... mulut pecah la pulak".. mungkin ini yang diucapkan sebahagian daripada kita apabila ditimpa sakit mulut. Bagi saya, sebenarnya sakit mulut ini antara anugerah, peringatan dan tarbiah dari Allah S.W.T. ke atas kita. Anugerah? Peringatan? Tarbiah? Ya. Saya berkata bahawa sakit mulut ialah anugerah kerana dengan sakitnya satu-satu bahagian kita, Allah S.W.T. sedang menghapuskan dosa kita sedikit demi sedikit. Bukan sekadar sakit mulut, bahkan sebarang kesakitan, masalah hinggakan tercucuk duri sekalipun.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Apabila seorang hamba terlalu banyak dosanya dan tidak ada amalan untuk menghapuskan dosa-dosanya, Allah akan melibatkannya dengan kedukacitaan untuk menghapuskan dosa-dosanya” (Riwayat Ahmad dari Aisyah r.a.)

Dari Abu Said Al-Khudri dan Abu Hurairah r.a. “Seorang muslim itu tidak ditimpa sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan sebabnya sebahagian daripada dosa-dosanya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Google Image

Maka itulah anugerah Allah S.W.T ke atas kita. Allah S.W.T. terlalu sayangkan para hamba-Nya sehingga tidak mahu dosa kita bertimbun banyak. Alangkah Maha Pengasih Allah S.W.T. ke atas para hamba-Nya, tetapi dimanakah rasa cinta dan kehambaan kita pada Allah S.W.T.? Adakah hanya ketika ditimpakan musibah baru tercari-cari cinta Allah S.W.T.

Dan sakit ialah peringatan. Kerana ketika mana kita ditimpa sesuatu musibah, kita akan mula mencari tempat mengadu. Kita akan mula mencari Allah.. "Allah.. sakitnya mulut ini".. "Ya Allah, sembuhkanlah penyakitku ini" dan lain-lain lagi. Menjadi peringatan kepada hamba-Nya untuk mengingati-Nya (Allah). Tanyakanlah kepada diri kita, Berapa kali zikir utk Allah bertasbih di mulut kita? Berapa banyak zikir untuk Allah itu berdengup bersama jantung kita? Berapa detik dari hari kita digunakan untuk mengingati Allah? Disebutkan dalam satu hadis Qudsi.

Dari Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda" berfirman Allah S.W.T.: Aku sesuai dengan sangkaan hamba-Ku, dan Aku bersamanya jika dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, pasti Aku mengingatinya dalam diri-Ku. dan jika dia mengingati-Ku dalam suatu himpunan (majlis), pasti Aku mengingatinya dalam majlis yang lebih baik dari mereka. Dan jika dia mendekati kepada Aku sejengkal, pasti Aku mendekatinya sehasta, dan jika dia mendekati Aku sehasta, pasti Aku mendekatinya sedepa. Dan jika dia datang kepada-Ku berlari, pasti Aku datang kepadanya berlari-lari anak" (Sahih Bukhari)

Alangkah indahnya mereka yang sentiasa berusaha mengingati Allah, berusaha mendekati Allah, berusaha menggapai cinta Allah. Di manakah kita?

Saya juga berkata sakit mulut adalah tarbiah. Ya! Tarbiah. Tarbiah kepada diri kita yang sentiasa terlepas kata, yang sering mengadu domba, yang sering berbuat cerita. Tarbiah kepada seorang hamba yang sentiasa lupa. Barangkali apabila mulut kita sihat ketika itu, maka akan bertambah saham akhirat sebelah kiri. Ketika mulut mula sakit-sakit, kita akan mula mengurangkan tutur kata. Kerana susah untuk melafazkan kata-kata melainkan terpaksa. Sakit itu mentarbiah adab kehidupan seharian kita.

Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata perkataan yang baik atau diam......." (Sahih Bukhari)

Hadis ini antara hadis penting dalam bidang adab Islam. Yang dimaksudkan dengan "perkataan yang baik" telah dihuraikan oleh Allah dalam Surah An Nisa': 114,  iaitu perkataan yang mengajak manusia bersedekah, perintah kepada perkara ma'ruf dan perkataan yang membawa pendamaian antara manusia.  Selain dari 3 hal itu hanyalah harus hukumnya. Malah mungkin akan membawa kepada sesuatu yang buruk. 

Jadi marilah kita sama-sama mensyukuri setiap apa yang Allah S.A.W. timpakan ke atas kita. Jika para alim ulama' dahulu apabila mereka ditimpa kesusahan dan kesakitan, mereka redha dan bersyukur. Bagaimana pula kita kini? Suka saya mengingati diri sendiri dan para pembaca, kurangkan kalam, jgn terlajak dalam berkata. waAllahua'lam.

kalam Setapak Melangkah™

Tiada ulasan:

Catat Ulasan