Jumaat, 1 Julai 2011

Tenggelam dalam CINTA


PENGHUJUNG abad pertama Hijrah. Keadaan kota Basrah sudah jauh berubah dari sebelumnya. Penghuninya sudah menjadi pencinta-pencinta dunia dan segala harta kekayaan yang ada. Percampuran lelaki dan perempuan semakin berleluasa, sehingga muncullah pelbagai bidaah dan kemungkaran yang tidak pernah ada sebelumnya. Mereka berlumba-lumba mencari kemegahan duniawi sehingga tersebarlah kejahatan di serata pelosok kota Baghdad. Kekuatan iman mulai pudar dan orang-orang yang warak, qanaah dan hidup sederhana sudah hampir lenyap sama sekali.

Namun, ALLAH tetap memelihara agamanya dengan menghidupkan di kalangan mereka, orang-orang yang tidak terpesona dengan keindahan duniawi yang sementara. Mereka ini dipimpin oleh ALLAH menuju ke jalan-Nya dengan menjauhkan diri dari kesibukan urusan duniawi dan kemewahan hidup.

Maka tumbuhlah pondok-pondok sufi di sekeliling kota Basrah, bertaburan di kawasan-kawasan yang sunyi dan terpencil. Para penghuninya adalah para mukminin yang bertakwa, yang tidak punya apa-apa, mencari jalan mereka untuk mengasingkan diri dan menetap jauh-jauh dari manusia, dan mereka ini tidak dipedulikan.

Di sanalah, tinggal sepasang suami isteri yang sangat fakir. Si suami bekerja mendayung sampan, menyeberangkan manusia antara dua tebing Sungai Dajlah yang luas itu. Orangnya sangat bertakwa, terhindar sama sekali dari kecintaan terhadap mata benda dunia, sementara rohaninya meluap-luap dengan keimanan. Ia tidak pernah jemu beribadah kepada Tuhan, tidak pernah berhenti dari bertasbih kepada ALLAH, sehingga ia dikenali sebagai Al-Abid kerana begitu banyak sekali ibadahnya.

Google Image
Seluruh masa siangnya digunakan sepenuhnya dengan kerja-kerja sampannya, manakala masa malamnya digunakan untuk munajat kepada Tuhan. Al-Abid yang fakir ini, meski mempunyai tiga orang anak perempuan, dan isterinya sedang sarat mengandung lagi, tidak pernah berasa kekurangan, sebaliknya sentiasa berasa cukup dengan rezeki yang sedikit itu. Ia sentiasa bersyukur kepada ALLAH atas nikmat-Nya sehingga tidak pernah hatinya cenderung kepada dunia dan tidak tamak untuk memilikinya.

Pada suatu malam yang hening dan gelap-gelita, bergemalah tangisan nyaring seorang bayi yang baru dilahirkan ke dunia. Al-Abid mengucap syukur kepada ALLAH. Diangkatnya bayi perempuan itu, lalu dinamakannya Rabi'ah. Namun, jauh di sudut hatinya, terguris sedikit kesedihan, kerana ia pernah menginginkan anak lelaki yang kelak dapat membantunya di waktu tuanya.

Pada tengah malam itu, ketika ingin merebahkan diri setelah penat bekerja seharian, tiba-tiba Al-Abid bermimpi didatangi Rasulullah s.a.w. Berkata Rasulullah kepadanya: “Jangan engkau berasa sedih, kerana anak perempuan yang baru dilahirkan tadi itu adalah seorang yang akan menjadi orang utama, yang nanti ramai di kalangan umatku akan mendapat syafaat daripadanya.”

Rabi'ah membesar di pondok kelahirannya itu, terpencil dari keluarga lainnya, dan acapkali menderita kelaparan disebabkan kemiskinan yang membelenggu. Di samping itulah tumbuh perasaan keimanan dan ketakwaan yang tinggi sekali. Ia telah mengambil pelajaran agamanya, sifat qanaah dan warak daripada ayahnya. Rohaninya mulai berkembang, dan dia amat gemar membaca al-Quran. Ia telah membaca dan menghafalnya dengan penuh khusyuk serta memahami maknanya dengan penuh yakin dan iman yang mendalam.

Sejak kecil, Rabi'ah sudah biasa menggantungkan semua harapannya kepada dirinya sendiri. Ia selalu diselaputi oleh perasaan sedih dan pilu kerana kemiskinan dan kepayahan hidup yang dilaluinya. Apatah lagi, dalam usia yang masih mentah, ia terpaksa menjalani kehidupan sebagai anak yatim apabila ayahnya meninggal dunia. Dan tidak lama kemudiannya, disusuli pula oleh ibunya. Hilanglah tempat berpaut Rabi'ah dan tiga kakaknya.

Mereka tetap tinggal di pondok yang kian usang itu, menempuh kehidupan yang penuh penderitaan dan sentiasa kelaparan. Masa siang mereka semuanya merupakan kepayahan dan penderitaan, dan malamnya pula merupakan ketakutan dan tangisan. Tiga orang kakaknya bekerja di kota dengan pendapatan yang tidak seberapa, manakala Adawiyah sendiri meneruskan usaha bapanya bekerja mendayung sampan. Sehingga dengan kerjanya itu, Rabi'ah dikenali oleh orang ramai dengan nama Rabi'ah Al-Adawiyah.

Rabi'ah sentiasa berasa sedih dan hiba, takut dan bimbang dalam meneruskan kehidupannya. Sehingga ada kalanya dia bertanya pada dirinya, mengapa dia tiada sebab untuk bersedih sedemikian rupa. Setiap hari, apabila ia kembali ke rumah, dia tenggelam dalam tangisannya yang panjang, dan ada kalanya terus-menerus menangis sepanjang malam tanpa sebab yang tertentu.

Sehinggalah tiba suatu masa, kota Basrah ditimpa kemarau dan kebuluran merata di mana-mana. Ramailah penduduk Basrah berhijrah meninggalkan kota itu, mencari tempat lain yang lebih subur dan kaya dengan rezeki. Antara kumpulan tersebut termasuklah ketiga-tiga orang kakak Rabi'ah.

Mereka telah berpecah, masing-masing menuju ke haluan masing-masing, dan meninggalkan Rabi'ah seorang diri. Sejak hari itu, Rabi'ah tidak pernah lagi melihat mereka, dan tidak pernah mendengar berita mereka, seolah-olah mereka semuanya telah meninggal dunia.

Dalam keadaan terkontang-kanting seorang diri, Rabi'ah telah diculik lalu dijual kepada seorang pedagang dengan harga hanya sebanyak enam dirham. Sejak hari itu, jadilah ia seorang hamba sahaya yang sering disiksa dan dihina dengan bermacam-macam kehinaan oleh tuannya. Namun Rabi'ah tetap menahan diri dengan bersabar dan melakukan segala kerja-kerja berat yang diperintahkan oleh tuannya.

Apabila tiba waktu malam, barulah Rabi'ah terlepas dari belenggu perhambaan, bahkan dari belenggu dunia seluruhnya. Ketika itulah ia tenggelam dalam alam rohani yang mutlak, tenggelam dalam fana kepada Tuhan, dengan sembahyang dan doanya yang tidak pernah putus. Begitulah yang berlaku terus-menerus sehingga beberapa lama.

Suatu malam, pedagang itu cuba mengintip untuk melihat apa yang sedang dilakukan oleh Rabi'ah. Maka ia berasa begitu terharu apabila melihat Rabi'ah sedang sembahyang, dan kemudian bermunajat kepada Tuhan.

Google Image
“Wahai Tuhanku! Engkau telah mengetahui tentang hatiku yang ingin berbuat ketaatan kepada-Mu, dan cahaya hatiku untuk berbuat khidmat kepada-Mu. Kalaulah perkara itu terserah di dalam anganku sendiri, nescaya aku tidak akan berhenti sebentar pun daripada munajat kepada-Mu. Akan tetapi Engkau telah melepaskan aku di bawah rahmat seorang makhluk yang kasar dan zalim dari hamba-hamba-Mu.”

Mendengar kata-kata Rabi'ah itu, pedagang tersebut berasa gementar lalu berundur dari situ. Keesokan harinya, ia memanggil Rabi'ah lalu membebaskannya. Rabi'ah pun terlepas dari belenggu perhambaan, dan bebas memilih jalan hidupnya sendiri.

Sejak itu, ada perbezaan dalam riwayat hidupnya. Setengah riwayat mengatakan, dia terus menenggelamkan dirinya dalam lingkungan zikir kepada ALLAH dan bersemadi di dalamnya. Manakala setengah riwayat lain mengatakan, dia terpesong dalam lautan hawa nafsu dan terpalit dengan maksiat dan dosa. Kemudian barulah dia bertaubat dan kembali beribadah kepada Tuhan.

Waktu malamnya dihabiskan dengan bermunajat kepada Tuhan. Ia seringkali menangis, sehingga kalau diberi sesuatu, ia tidak mahu menerimanya dan mengatakan bahawa ia tidak berhajat kepada dunia. Beginilah antara munajatnya kepada Tuhan: “Ya ALLAH! Aku berlindung diri kepada Engkau dari segala yang ada, yang boleh memesongkan diriku daripada-Mu, dari segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dan Engkau!

“Tuhanku! Bintang-bintang telah menjelma indah, mata-mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintu, dan setiap pencinta telah berpadu dengan orang yang dicintainya, dan inilah dudukku di hadapan-Mu!

“Tuhanku! Tiada kudengar kepada suara binatang yang mengaum, tiada kepada desiran pohon yang bergeser, tiada kepada derasan air yang mengalir, tiada kepada siulan burung yang bernyanyi, tiada kepada nikmatnya teduhan yang melindung, tiada kepada tiupan angin yang menyaman, tiada kepada dentuman guruh yang menakutkan, melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti kepada keesaan-Mu, dan menunjukkan bahawasanya tiada sesuatu yang menyamai-Mu!”

Rabi'ah dikatakan pernah meraung seraya berkata: “Demi kemuliaan-Mu dan kebesaran-Mu. Aku tidak akan tidur (lalai) daripada berkhidmat kepada-Mu di setiap malam dan siang, kecuali jika tidak sengaja, sehingga aku menemui-Mu.”

Ketika Imam Hassan al-Basri ingin melamarnya, Rabi'ah menolak dengan kata-katanya: “Perkahwinan itu memang perlu sekali bagi siapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tidak mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah untuk Tuhanku, dan di bawah perintah Tuhanku. Aku tiada mempunyai harga apa pun pada diriku.”

Di kala usianya mencapai 80 tahun, dan ketika menghadap kematian, ia memanggil pembantunya Abdah dan berkata kepadanya: “Wahai Abdah, Jangan kau menggangguku sesudah aku mati nanti, dan kafankanlah aku di dalam jubahku ini.”

Setelah Rabi'ah meninggal dunia, dia dikafankan oleh pembantunya dengan jubah guni itu, dan dilipatkan pada tubuhnya selendang sufinya. Rabiah telah dikebumikan di Baitul Maqdis pada tahun 135 Hijrah. Semoga ALLAH merahmatinya.

2 ulasan:

  1. tak silap, maqam dia ada kat mesir.. ada beza riwayat ker?

    BalasPadam
  2. waAllahua3lam.. sekadar berkongsi cerita beserta manfaat.. Jika ada sebarang penambahanbaikan, komentar, amat-amatlah dialu-alukan.. insyaAllah..

    BalasPadam