Sama ada pulang ke kampung halaman atau pergi bercuti, masih timbul dalam sebilangan kita sedikit sebanyak masalah dalam bab solat ketika permusafiran. InsyaAllah, kali ini saya cuba kongsikan beberapa permasalahan mengenai solat ketika musafir. Bermula dari.....
Rukhsah iaitu keringanan, rukhsah kepada orang yang bermusafir ada banyak. Salah satunya ada di dalam solat. Di dalam solat itu ada 2 keringanan iaitu mengurangkan bilangan rakaat (Qasar) dan menghimpunkan salah satu dari 2 solat dalam satu waktu solat (Jamak).
Manakala Jamak terbahagi kepada dua, iaitu: Jamak takdim (menyegerakan solat kedua dalam waktu solat pertama, dan Jamak takhir (melewatkan solat pertama dalam waktu solat kedua).
BAB QASAR
Rukhsah solat ini hanya boleh dilakukan kepada solat yang mempunyai bilangan rakaat yang 4. Iaitu Zuhur, Asar dan Isyak. Dua rakaat menggantikan empat rakaat.
Untuk melakukan Qasar dalam tiga waktu solat ini, hendaklah ada syarat-syarat berikut:
1. 1) Waktu solat itu masuk ketika mana bermusafir, dan dijalankan ketika bermusafir.
Terkeluar syarat ini jika masuk waktu solat sebelum bermusafir, kemudian dia bermusafir sebelum mengerjakan solat. Maka tidak harus ke atasnya untuk mengqasarkan solat. Kerana waktu solat itu sudah ada padanya sebelum bermusafir.
Dan terkeluar juga syarat ini jika masuk waktu solat itu ketika bermusafir, tetapi dia tidak bersolat sehingga telah pulang ke negara (kawasan) nya. Maka tidak diharuskan kepadanya untuk mengqasarkan solatnya, kerana ketika itu dia bukan lagi bermusafir. Qasar adalah pada orang yang bermusafir.
2. 2) Keluar dari kawasan orang ramai dari tempat permusafirannya
Kerana sesiapa yang berada di dalam kawasan negaranya (tempatnya) atau kawasan orang ramai bukanlah musafir. Orang yang bermusafir dikira selepas melepasi dua syarat ini. Begitu juga jika dalam perjalanan pulang .
3. 3) Tidak berniat untuk tinggal di tempat bermusafir melebihi 4 hari. Tidak termasuk hari pergi dan hari balik perjalanan.
Jika dia berniat untuk tinggal lebih dari 4 hari (4, 5, 6 dan lebih) maka tidak harus kepadanya untuk mengqasarkan solat. Rukhsah qasar itu hanya ada dalam tempoh perjalanan sahaja.
Jika dia berniat untuk tinggal di sana kurang dari 4 hari (3, 2, dan 1), boleh kepada orang yang bermusafir itu untuk mengqasarkan solatnya sehingga dia pulang.
Dan jika dia tidak mengetahui tempoh permusafirannya, contohnya dia sakit dan perlu kepada rawatan semasa permusafirannya, namun dia tidak mengetahui bila akan selesai, dibolehkan ke atasnya untuk mengqasarkan solat selama 18 hari (tidak termasuk hari perjalanan pergi dan balik). Jika lebih dari tempoh itu hendaklah dia menyempurnakan bilangan rakaat.
4. 4) Tidak berimamkan orang yang bersolat secara tamam (sempurna rakaatnya)
Jika dia berimamkan orang yang sempurna bilangan rakaatnya, wajib ke atasnya untuk menyempurnakan bilangan rakaat dan tidak harus kepadanya untuk mengqasarkan solat.
Tetapi jika dia yang menjadi imam kepada solat tersebut, dia tidak dihalang dari mengqasarkan solat. Dan disunatkan kepadanya setelah selesai memberi salam untuk segera berkata : “Sempurnakanlah solat kamu, sesungguhnya aku seorang musafir.”
BAB JAMAK
Manakala Jamak terbahagi kepada dua, iaitu: Jamak takdim (menyegerakan solat kedua dalam waktu solat pertama, dan Jamak takhir (melewatkan solat pertama dalam waktu solat kedua).
Solat yang dihimpunkan antara keduanya pula ialah: Zuhur bersama Asar, Maghrib bersama Isyak. Tidak sah menghimpunkan solat Subuh dengan solat sebelum atau selepasnya. Atau menghimpunkan solat Maghrib dengan waktu solat sebelumnya iaitu Asar.
Syarat-syarat Jamak Takdim
1. 1) Tertib antara keduanya.
Iaitu dengan memulakan dengan solat pertama. Contoh jamak antara Zuhur dan Asar. Dimulakan dengan Zuhur dan diikuti dengan Asar.
2. 2) Berniat menghimpunkan solat kedua dengan solat pertama sebelum waktu kosong dari solat pertama.
Iaitu berniat sebelum salam pertama. Tetapi disunatkan untuk berniat pada takbiratul ihram solat pertama.
3. 3) Berterusan antara keduanya.
Iaitu menyegerakan solat kedua selepas selesai solat pertama. Tidak dikira memisahkan antara keduanya dengan apa-apa zikir atau sunah atau selain itu. (Contoh: Azan, Iqamah, bersuci atau berwuduk).
Dan dikira sebagai memisahkan antara keduanya dengan sesuatu yang panjang kebiasaannya, ataupun melewatkan solat kedua tanpa melakukan apa-apa, terbatal jamak itu. Dan wajib dia menunda solat itu kepada waktunya.
4. 4) Berkekalan permusafirannya sehingga takbiratul ihram solat kedua.
Maka tidak menjadi masalah (tidak membatalkan jamak) jika dia sampai ke kawasannya ketika itu.
Syarat-syarat Jamak Takhir:
1. -Berniat melakukan solat jamak takhir ketika masih berbaki waktu solat pertama.
Jika telah keluar dari waktu Zuhur contohnya, dan masih belum berniat menghimpunkan solatnya dengan Asar secara Jamak Takhir, solat Zuhur itu akan menjadi solat yang wajib di qada’ . Dan berdosa mentakhirkan solat zuhur itu.
2. -Berkekalan permusafirannya sehingga selesai kedua-dua solatnya.
Tidaklah wajib di sini tertib antara dua solat. Boleh dimulakan solat itu dengan salah satu daripada keduanya. Di sini hanyalah sunah dan bukanlah syarat sah Jamak.
Syarat-syarat musafir yang disunatkan kepadanya Qasar dan Jamak:
1. 1) Mestilah permusafirannya melebihi 2 marhalah.
Dalam Kitab Al-Fiqhul Manhaji A’la Mazhab Al-Imami As-Syafie dinyatakan sejauh 4 burud iaitu 16 farsakh bersamaan 81 kilometer dan lebih. (Fiqh Manhaji m/s 114)
Manakala dalam Kitab Safinah An-Najah dinyatakan dua marhalah itu menyamai 89.99992 km menurut ketetapan yang dibuat di zaman pemerintahan Al-Makmum. Mengikut Ahmad Hussin Al-Misry ialah 94.5 km. (Safinah An-Najah m/s 51)
2. 2) Mengetahui arah permusafirannya secara jelas.
Maka tidak dikira musafir seseorang yang berkelana tanpa mengetahui arah tuju. Juga tidak dikira bermusafir jika mengikuti seseorang tanpa mengetahui arah tuju. Contohnya dia tidak mengetahui ke mana dia akan pergi. Ini adalah sebelum sampai jarak perjalanan yang panjang iaitu sebelum melebihi 4 burud/ 16 farsakh / 2 marhalah. Namun apabila perjalanannya itu telah melebihi jarak yang telah ditetapkan, maka dibolehkan kepadanya mengqasarkan solatnya.
3. 3) Perjalanan musafirnya itu bukanlah bertujuan atau bermatlamat untuk maksiat.
Contohnya : Untuk menjual arak, riba’ atau untuk merompak.
Semoga dengan sedikit perkongsian ringkas ini boleh dimanfaatkan oleh para pembaca..
Semoga dengan sedikit perkongsian ringkas ini boleh dimanfaatkan oleh para pembaca..
waAllahua3lam.
Rujukan:
1) Al-Fiqhul Manhaji 3la Mazhab Al-Imam As-Syafie, Cetakan Dar Al-Mustafa, Damsyik. m/s 111-115.
2) Terjemahan Safinah An-Naja, Pustaka Dar Al-Hikmah, m/s 50-51
3) http://www.tayibah.com/eIslam/solat_jamak_dan_qasar.htm
4) http://ms.wikipedia.org/wiki/Solat_jamak
5) http://qasolatjamakqasar.blogspot.com/
6) http://soaljawab.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=211&Itemid=84
7) http://kuisusrah.blogspot.com/2009/09/syarat-syarat-sah-jamak-taqdim.html dll
kalam Setapak Melangkah™
kalam Setapak Melangkah™
Asalam
BalasPadamNak tanya. Bagaimana kalau kes ini
1. Ahad bertolak dari K lumpur ke kuantan -
gasar dan jamak
2 isnin, selasa, - mesyuarat dikuantan qasar
dan jamak
3 Rabu bertolak ke kota baharu - qasar dan jamak
4 Khamis, jumaat mesyuarat dikota baharu - ?
5. Sabtu bertolak ke di pulau pinang
sehari mesyuarat sehari
6. Ahad bertolakbalik kekuala lumpur qasar
danjamak.
Bagaimana status solat qasar dan jamak dalam kesini
daripada
cendana452@Yahoo.com